Pages

Subscribe:

Saturday, September 17, 2011

PERUBAHAN SOSIAL PADA BUDAYA IRANUN


Perkataan kebudayaan adalah berasal daripada perkataan budaya. Kebudayaan adalah cara hidup dan amalan. Menurut Kamus Dewan, kebudayaan bermaksud keseluruhan cara hidup (yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan, dan berfikir) serta hasil kegiatan dan penciptaan yang berupa kenbendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat, tamadun, kemajuan akal budi dan sebagainya. Dua aspek kebudayaan, iaitu kudayaan kebendaan dan kebudayaan bukan kebendaan. Kebudayaan kebendaan dapat dilihat dalam bentuk peralatan kesenian, senjata, perkakas memasak, bentuk rumah dan sebagainya. Contoh-contoh bukan kebudayaan bukan kebendaan pula merangkumi kepercayaan, adat, tingkah laku dan seumpamanya (Prof. Madya Dr. Zaid Ahmad et all, 2009: 4).
Masyarakat Iranun sangat berpegang kepada adat yang diwarisi turun-menurun dari nenek moyang. Perlanggaran adat merupakan sesuatu perbuatan khianat dan sumbang kepada bangsa. Adat ini berdasarkan kedudukan individu dalam hirarki sistem kemasyarakatan Iranun. Contohnya masyarakat Iranun dari golongan bawahan seperti yang digelar oripen maka tidak boleh mengadakan upacara kematian seperti golongan Datu. Semasa kematian juga terdapat beberapa perkara yang menjadi kelaziman masyarakat Iranun namun demikian ia tidaklah sampai menyalahi ajaran Islam. Mengumumkan kematian dalam Iranun dibezakan berdasarkan darjat simati dalam hirarki masyarakat Iranun. Apabila orang yang meninggal tersebut terdiri daripada kalangan orang biasa maka ia diumumkan mengunakan pukulan taboh (beduk), apabila mendengar paluan taboh tersebut maka masyarakat faham berlakunya kematian orang biasa. Bagi kematian dikalangan yang berdarjat tinggi seperti Datu maka kematiannya diumumkan melalui paluan gong dan bebendir yang dipanggil baluh atau pembaluan. Seterusnya memandikan mayat, menurunkan mayat serta pengebumian mayat. Namun ada sesuatu perkara yang unik untuk dikongsi bersama iaitu tungguh sakuburan (menjaga kuburan) yang mana masyarakat Iranun tidak akan meninggalkan mayat yang baru dikebumikan begitu sahaja tetapi akan menjaga kuburan 24 jam sekurang-kurangnya selama tujuh hari. Namun demikian bagi golongan Datu, sekurang-kurangnya 21 hari atau paling lama 40 hari. Dalam masa tujuh hari kematian tersebut, setiap malam keluarga simati termasuk masyarakat kampung akan berkumpul di rumah tempat berlakunya kematian dan sepanjang tujuh malam berturut-turut akan diadakan bacaan tahlil dan pangadih sabangkai-bangkaian dan mereka juga akan berjaga setiap malam. Pada hari ketujuh atau pitu ah gawi, kenduri arwah akan diadakan serta pendulang, iaitu memberi sedekah kepada yang datang berbentuk makanan dalam bungkusan. Pada kesupuluh akan diadakan juga kenduri arwah dan seterusnya pada hari kedua puluh atau tengah ah paat puluh kenduri arwah akan dilakukan sekali lagi bersama bacaan tahlil. Seterusnya pada hari keempat puluh jenazah dikebumikan serta pada hari kelima pulah atau tengah ah gatusan kenduri arwah sekali dilakukan. Menjelang keseratus hari jenazah dikebumikan maka kenduri gatusan akan diadakan. Seterusnya pada ulang tahun kematian, kenduri untuk temegan akan diadakan.
Menyentuh soal pendidikan, suku kaum sangat mementingkan pendidikan anak-anak mereka, sama ada pendidikan sekular mahupun keagamaan. Peluang suku kaum Iranun untuk mendapat pendidikan sekular adalah amat terbatas khasnya pada zaman penjajah. Dalam pendidikan keagamaan pula, walaupun tidak dapat di ajar secara formal di sekolah, tetapi anak-anak Iranun mempelajari ilmu agama melalui guru-guru di amsjid-masjid atau rumah guru-guru agama. Semasa zaman penjajahan British, walaupun terdapat sekolah-sekolah yang disediakan untuk anak-anak bumiputera di Pulau Borneo namun peluang bagi anak-anak suku kaum Iranun untuk memasuki sekolah-sekolah ini amat terbatas, malah dikatakan tidak ada peluang langsung. Ini disebabkan pihak yang menyediakan sekolah ketika itu pihak-pihak mubaligh kristian, maka ibubapa suku kaum Iranun yang terkenal sebagai suku kaum yang kuat berpegang kepada agama Islam tidak mahu menghantar anaknya belajar di sekolah. Hanya setelah wujudnya sekolah vernakular Melayu barulah ada anak-anak Iranun yang berpegang memasuki sekolah formal. Namun kini suku kaum Iranun dalam aspek pendidikan adalah setanding dengan mana-mana suku kaum di Malaysia dan dewasa ramai di kalangan anak-anak Iranun yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan mahupun swasta.
Zaman Kesultanan Sulu merupakan zaman kegemilangan masyarakat Iranun. Pada zaman itu masyarakat Iranun mempunyai susun lapis masyarakat bersrata, yang membahagikan anggotanya kepada kelas-kelas tertentu. Sistem kelas dalam masyarakat Iranun didasarkan kepada keturunan dan pengaruh. Dalam susun lapis masyarakat Iranun, setiap anggota masyarakat mendapat perlindungan daripada golongan atasan. Dalam sistem hubungan perlindungan yang wujud dalam masyarakat Iranun, pihak berpengaruh akan memberi perlindungan manakala pihak yang dilindungi akan berkhidmat sumbangan kepada pihak yang melindunginya. Khidmat atau sumbangan yang dimaksudkan adalah berbentuk tenaga dan kebendaan. Dalam susunan strata jawatan dalam sistem pentadbiran tradisional masyarakat Iranun bermula dari Sultan kemudian Radia Moda, Datu, Panglima, Pendeta, Dumata, Sakup, Oripen dan Baniaga.
Dalam aspek bahasa pula, suku kaum Iranun mempunyai bahasa sendiri yang dikenali sebagai basa Iranun. Namun sesuatu yang menarik dalam basa Iranun ialah wujudnya perbezaan loghat di antara satu tempat dengan tempat yang lain. Misalnya loghat Kampung Tamau dan Kampung Penampang, terdapat sedikit perbezaan dalam sebutan dan istilah tertentu. Manakala dari aspek pantang larang pula, suku kaum Iranun sangat berpegang kepada pantang larang contohnya kanak-kanak dilarang bermain sembunyi-sembunyi pada waktu senja kerana dikhuatiri akan disembunyikan oleh syaitan.

0 comments:

Post a Comment